Masterclass Anai-anai 2.0 2026 Perkasa Kepakaran Industri Kawalan Perosak
Serdang, 6 Januari 2026 – Bumiputera Integrated Pest Management Malaysia (BIPM) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM telah berjaya menganjurkan Bengkel Masterclass Anai-anai 2.0 2026 pada 5 dan 6 Januari 2026 dengan penyertaan seramai 20 orang peserta daripada pelbagai latar belakang industri dan akademia.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Loh Teck Chwen, manakala pengurusan dan pelaksanaan program diterajui oleh Pengarah Program, Dr. Wan Mohd Hafezul Wan Abdul Ghani.
Pengisian bengkel merangkumi gabungan sesi teori dan praktikal berkaitan pengurusan serta kawalan anai-anai secara bersepadu. Sesi-sesi ini telah dikendalikan oleh barisan penceramah berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing, antaranya Profesor Emeritus Dr. Abu Hassan Ahmad (USM), Dr. Ahmad Said Sajap, Mohamad Faiz dari Ensystex Malaysia, serta wakil daripada Jabatan Perlindungan Tumbuhan UPM iaitu Dr. Wan Mohd Hafezul Wan Abdul Ghani dan Prof. Madya Dr. Syari Jamian.
Program ini turut melibatkan penyertaan pensyarah serta penolong pegawai sains dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, dan disokong oleh wakil industri daripada pelbagai syarikat kawalan perosak seperti Terminix Pest Control, Biopest Sdn. Bhd., A.A. Pest Control and Service, Insepro Sdn. Bhd., serta beberapa syarikat lain. Penyertaan ini sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara pihak akademia dan industri dalam bidang pengurusan perosak.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pengamal industri kawalan perosak negara.
Date of Input: 09/01/2026 |
Updated: 09/01/2026 | wazien
MEDIA SHARING