Ubon Ratchathani University & Fakulti Pertanian Perkukuh Hubungan Melalui MoU
Serdang, 8 Mei – Universiti Ubon Ratchathani (UBON RATCHATHANI UNIVERSITY), Thailand, telah mengadakan sesi perbincangan rasmi bersama Fakulti Pertanian bagi merangka memorandum persefahaman (MoU) yang memfokuskan kepada kerjasama akademik, mobiliti pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, serta pembangunan penyelidikan bersama.
Delegasi Universiti Ubon Ratchathani diketuai oleh Dr. Kanjana Payooha, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Hubungan Antarabangsa), diiringi empat orang pensyarah. Sementara itu, Fakulti Pertanian diwakili oleh Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab, Ketua Jabatan Sains Tanaman; Prof. Madya Dr. Eric Lim Teik Chung, Ketua Jabatan Sains Haiwan; serta Prof. Madya Dr. Christopher Teh Boon Sung, Ketua Jabatan Pengurusan Tanah.
Lawatan selama dua hari ini memberi ruang kepada kedua-dua institusi untuk menilai infrastruktur penyelidikan, termasuk makmal-makmal jabatan dan ladang penyelidikan Fakulti Pertanian. Antara objektif utama perbincangan adalah meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan pertanian, pemindahan teknologi, serta penerbitan bersama dalam jurnal berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi meningkatkan kecemerlangan akademik di peringkat serantau.
Selain itu, Universiti Ubon Ratchathani juga telah menghantar lima orang pelajar untuk menjalani latihan industri selama sebulan di Fakulti Pertanian sebagai sebahagian daripada program pertukaran pelajar, yang diharap dapat memperkaya pengalaman praktikal mereka serta menggalakkan perkongsian ilmu merentas sempadan.
Kerjasama strategik ini dilihat mampu memberi impak signifikan kepada pembangunan akademik, penyelidikan, dan jaringan antarabangsa kedua-dua institusi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan lestari sektor pertanian di rantau ini.
Date of Input: 06/05/2025 |
Updated: 06/05/2025 | wazien
MEDIA SHARING