FAKULTI PERTANIAN KECUNDANG DI SEPARUH AKHIR SEBUDI 3.0, BAWA PULANG DUA ANUGERAH TERBAIK
SERDANG, 20 Februari – Pasukan dari Fakulti Pertanian (FP) terpaksa akur di peringkat separuh akhir dalam Pertandingan Kuiz Seni, Budaya dan Warisan (SEBUDI 3.0) yang berlangsung semalam dan hari ini. Walaupun tidak berjaya melangkah ke final, FP tetap membawa pulang dua anugerah berprestij.
Fakulti telah diwakili oleh Dr. Sarah Baharudin dari Jabatan Sains Tanaman, En. Nik Zaini Peei dan En. Indra Shahril Zainal, kedua-duanya dari Pejabat Dekan. SEBUDI 3.0 ini merupakan anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) iaitu pertandingan yang menguji pengetahuan dalam seni, budaya dan warisan. Program ini bertujuan memperkasakan pemahaman warga UPM terhadap budaya nilai tinggi yang berlandaskan tiga elemen utama: tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan, selain mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Walaupun perjalanan pasukan FP terhenti di separuh akhir, mereka tetap mencipta kejayaan dengan merangkul Anugerah PTJ Terbaik Peringkat Saringan Keseluruhan dan Anugerah PTJ Terbaik Ujian Aneka Pilihan, membawa pulang plak dan hamper sebagai penghargaan.
Sebanyak 40 pasukan dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM menyertai pertandingan ini, namun hanya enam kumpulan berjaya mara ke peringkat akhir.
Sebagai rekod, Fakulti Pertanian pernah dinobatkan sebagai juara dalam edisi sulung SEBUDI 1.0 pada tahun 2023 dan tidak menyertainya pada edisi 2024. Dengan pencapaian ini, FP terus menunjukkan komitmen dalam menyemarakkan apresiasi seni dan budaya dalam kalangan warganya.
Syabas dan tahniah diucapkan atas kejayaan dan pengalaman yang berharga ini.
Date of Input: 21/02/2025 |
Updated: 21/02/2025 | wazien
MEDIA SHARING