FESTIVAL VIVARIUM 2025 MENYEMARAKKAN FANTASI KEINDAHAN ALAM SEMULAJADI
Serdang, 28 Januari 2025 – Festival Vivarium 2025 telah dilaksanakan dengan penuh meriah bermula dari 23 hingga 25 Januari 2025 bertempat di Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM. Program edisi ke-12 ini telah dijayakan secara bersama oleh pelajar-pelajar kursus AGR3101 Botani Pertanian seramai 177 pelajar dan AGR4100 Agrobiodiversiti seramai 22 pelajar melibatkan Program Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian (BSP), Program Bacelor Sains Hortikultur dengan Kepujian (BsHTK), Program Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian (BSPP), Program Bacelor Pendidikan Sains Pertanian (BPSP) dan Bacelor Sains Pertanian dengan Kepujian mod Pendidikan Jarak Jauh (BSP-ODL).
Program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan secara kreatif ini menyajikan pelbagai pengisian menarik dan informatif seperti pameran pelbagai jenis vivarium yang dihasilkan sendiri oleh para pelajar selain jualan dan pertandingan vivarium terbaik. Pelbagai jenis vivarium seperti terrarium, paludarium, aquarium, dan insectarium yang dihasilkan pelajar telah menarik pelbagai pihak untuk datang melawat dan bersama-sama meraikan semangat pemeliharaan dan pemuliharaan sumber biologi termasuklah staf dan warga UPM, pelajar-pelajar sekolah, orang awam, penyelidik dan pihak industri kreatif.
Festival vivarium yang diterajui oleh para pelajar tahun pertama Fakulti Pertanian UPM dengan bimbingan penasihat berpengalaman iaitu Dr. Mohd Firdaus Ismail, Prof. Dr. Uma Rani Sinniah, Dr. Azizah Misran, Dr. Mohd Norsazwan Ghazali dan Dr. Khairil Mahmud telah berjaya mengasah bakat kepimpinan dan memantapkan semangat kerja berpasukan di kalangan para pelajar sebagai persediaan untuk menempuh lebih banyak cabaran sepanjang pengajian mereka di UPM. Pengarah program, Saudari Ainur Fazlin dalam ucapan alu-aluan beliau telah menyatakan betapa program sebegini banyak membantu pelajar baharu untuk pantas beradaptasi dengan suasana dan cabaran baharu sebagai pemimpin di sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia.
Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin selaku Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah menyatakan dalam ucapan perasmian penutup beliau bahawa program seperti ini merupakan pendedahan yang penting kepada para pelajar untuk menjadi lebih berani dan bersemangat dalam mencipta lebih banyak kejayaan sepanjang keberadaan mereka di Fakulti Pertanian dan UPM umumnya. Sinergi yang telah ditunjukkan antara pelajar, pensyarah, pihak pengurusan dan semua pihak termasuk para penaja program seperti Humibox Sdn Bhd, U&US Sdn Bhd, ORS Sdn Bhd serta penyumbang lainnya telah membuktikan bahawa UPM sentiasa bersedia dan terkehadapan didalam usaha mencorak suatu ekosistem pertanian yang lestari.
Date of Input: 03/02/2025 |
Updated: 03/02/2025 | wazien
MEDIA SHARING