Pelajar Baharu Sertai Program 'Jom Turun Ladang' Fakulti Pertanian UPM | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Pelajar Baharu Sertai Program 'Jom Turun Ladang' Fakulti Pertanian UPM

Pelajar Baharu Sertai Program 'Jom Turun Ladang' Fakulti Pertanian UPM

Pelajar Baharu Sertai Program 'Jom Turun Ladang' Fakulti Pertanian UPM
 
SERDANG, 23 Oktober 2024 – Seramai 260 pelajar baharu Fakulti Pertanian sesi 2024/2025 telah menyertai program tahunan ‘Jom Turun Ladang’ yang bertujuan memperkenalkan kawasan pengajaran dan pembelajaran Fakulti. Program ini bermula jam 8.00 pagi dengan dimulakan sesi taklimat dan pembahagian kumpulan yang dikendalikan oleh penyelaras ladang Fakulti, En. Allan Lajot.
 
 
Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa program seperti ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami persekitaran pertanian di Fakulti disamping membangkitkan minat terhadap bidang yang diceburi. Menurut beliau, "Acara sebegini dapat membuka minat pelajar Fakulti untuk meneroka dan merasai sendiri pengalaman menarik sepanjang bergelar mahasiswa UPM."
Program yang diadakan setiap tahun ini melibatkan pelbagai kawasan penting di ladang Fakulti seperti ladang organik, ladang ternakan, tapak semaian dan nurseri, serta batas tanaman tebu. Pelajar juga berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman anak pokok tembikai yang dibantu oleh staf ladang Fakulti.
 
 
 
Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal kepada para pelajar, tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab terhadap sektor pertanian negara. ‘Jom Turun Ladang’ terus menjadi satu program penting dalam kalendar akademik Fakulti Pertanian, menyediakan platform yang kukuh untuk pelajar mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah ke dalam situasi dunia sebenar.
 
 
Program ini merupakan salah satu usaha Fakulti untuk menanam kesedaran dalam kalangan pelajar tentang peranan penting mereka dalam membangunkan sektor pertanian negara di masa hadapan.
 
 
 

Date of Input: 25/10/2024 | Updated: 25/10/2024 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:6:57:42~noCache