PELEPASAN BENIH IKAN; INISIATIF KELAB AKUAKULTUR LATIH AGROPRENEUR MASA DEPAN
Serdang, 3 Dis 2024 - Kelab Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM telah menganjurkan Majlis Pelepasan Benih Ikan Projek Usahawan Kelab Akuakultur bertempat di Ladang 10, UPM yang telah berlangsung pada Ahad lalu. Program ini bertujuan untuk membangunkan kemahiran agropreneur dalam kalangan pelajar dengan mengaplikasikan pengetahuan teori kepada situasi sebenar, di samping mengukuhkan pengurusan kolam akuakultur menggunakan teknik yang sesuai dan betul. Spesies yang diternak dalam projek ini termasuk ikan siakap, tilapia, dan udang galah.
Projek yang dijalankan ini telah menerima dana daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM melalui Geran Aktiviti Jalinan Alumni 2024 (GAJA) serta mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak, termasuk pengurusan Fakulti Pertanian, Ladang 10 UPM serta kerjasama strategik dengan rakan industri, Green Panther Solutions, yang menyumbangkan bantuan berbentuk in-kind seperti proses pembaikan kolam, bekalan benih, dan makanan ikan.
Majlis yang dihadiri oleh 50 orang pelajar Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian ini turut mendapat tunjuk ajar dari alumni Bac. Sains Akuakultur dan Bac. Sains Perniagaatani dengan kepujian untuk berkongsi pengalaman dalam pengurusan penternakan ikan.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Akuakultur, YBrs. Prof. Dr. Natrah Fatin Mohd. Ikhsan. Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM; Dr. Zarirah Mohamed Zulperi, Penasihat Kelab Akuakultur; Encik Allan Lajot, Penyelaras Ladang Fakulti Pertanian; Encik Mohd Faiz Abdul Latif, Pengarah Green Panther Solutions, serta pensyarah dan staf Jabatan Akuakultur.
Diharapkan projek ini dapat membantu pelajar mendalami prinsip kelestarian dalam penternakan ikan sambil mengembangkan kemahiran perancangan perniagaan, pengurusan kewangan, dan strategi pemasaran secara sistematik. Usaha ini diharap menjadi langkah positif dalam melahirkan generasi agropreneur yang berdaya saing dan berdikari.
Date of Input: 10/12/2024 |
Updated: 10/12/2024 | wazien
MEDIA SHARING