Pendedahan Pertanian Organik Kepada Generasi Muda Untuk Kelestarian Dan Keselamatan Makanan | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Pendedahan Pertanian Organik Kepada Generasi Muda untuk Kelestarian dan Keselamatan Makanan

Pendedahan Pertanian Organik Kepada Generasi Muda untuk Kelestarian dan Keselamatan Makanan

SERDANG, 29 Jun 2024 – Dalam usaha menggalakkan pemakanan sihat dan kelestarian pertanian, Unit Organik di Ladang 15, Fakulti Pertanian UPM, telah menganjurkan kursus Pendidikan Organik Kanak-Kanak untuk Pemakanan Sihat. Kursus ini dijalankan dengan kerjasama pelajar-pelajar dari Kursus Sistem Pengeluaran Organik (PRT4041), dan menarik 25 peserta berumur antara 4 hingga 12 tahun.
 
 
Program tahunan ini, yang telah dimulakan sejak 2014, kembali selepas terhenti seketika akibat pandemik Covid-19 dan pembangunan infrastruktur ladang. Kursus ini diadakan sepenuhnya di Unit Organik Ladang 15, yang menjadi contoh praktikal konsep 'walk the talk' dengan mempraktikkan semua elemen amalan pertanian lestari. Unit ini telah mendapat pensijilan myOrganic sejak tahun 2019, menambah kredibiliti kepada kursus ini.
 
 
Dengan sambutan yang menggalakkan, kursus ini sekali lagi berjaya menarik minat generasi muda melalui aktiviti-aktiviti yang merangsang deria dan mendekatkan mereka dengan konsep pertanian lestari. Objektif utama kursus ini adalah untuk mendedahkan peserta kepada amalan pertanian yang bebas dari racun dan baja kimia, menghasilkan produk yang selamat dan sihat tanpa merosakkan alam sekitar, sumber air, atau tanah.
 
 
 
Kursus setengah hari ini penuh dengan aktiviti ‘hands-on’, hasil usaha kolaboratif 20 ahli fakulti, staf ladang, dan 13 pelajar yang diketuai oleh Dr. Noraini Md Jaafar. Aktiviti yang dijalankan termasuk menuai, menanam, menyemai, pembuatan baja organik, serta biopestisid. Selain itu, peserta juga terlibat dalam aktiviti eksplorasi ladang dengan pendekatan ‘sensory hunt’, yang memberikan pengalaman menyeluruh dan interaktif.
 
 
Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Unit Organik dalam membina jaringan komuniti, termasuk kerjasama dengan sekolah, pameran, dan NGO. Penyertaan dan kerjasama dengan pelbagai PTJ, NGO, industri, agensi, dan komuniti sangat dialu-alukan untuk mempromosikan pertanian lestari, mencapai matlamat SDG dan ESG.
 
 
Kursus ini bukan sahaja mendedahkan generasi muda kepada amalan pertanian organik, tetapi juga menyemai kesedaran tentang kepentingan kelestarian dan keselamatan makanan untuk masa depan yang lebih baik.

 

Date of Input: 10/07/2024 | Updated: 10/07/2024 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:6:48:15~noCache