SEMINAR DIVERSITI DURIAN MALAYSIA 2025 SELONGKAR KEKAYAAN KHAZANAH DURIAN NEGARA | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » SEMINAR DIVERSITI DURIAN MALAYSIA 2025 SELONGKAR KEKAYAAN KHAZANAH DURIAN NEGARA

SEMINAR DIVERSITI DURIAN MALAYSIA 2025 SELONGKAR KEKAYAAN KHAZANAH DURIAN NEGARA

SEMINAR DIVERSITI DURIAN MALAYSIA 2025 SELONGKAR KEKAYAAN KHAZANAH DURIAN NEGARA
 
Serdang, Seminar Diversiti Durian Malaysian anjuran kursus AGR4100 Agrobiodiversiti bersempena Festival Vivarium 2025 pada 25 Januari 2025 menyaksikan penyertaan yang sangat menggalakkan dari kalangan penyelidik, perunding, wakil agensi kerajaan, pelabur, pengusaha, pemain industri, para pelajar serta pecinta raja buah kebanggaan negara. Seminar yang dibarisi oleh panel penceramah terkemuka dan terkenal dalam dunia durian negara seperti Dr. Abdul Aziz Zakaria (Pakar Durian Malaysia), Dr. Mohd Norfaizal Ghazali (Timbalan Pengarah Program, Penggunaan Sumber dan Konservasi Agrobiodiversiti MARDI) dan En Aidi Rosli Khalim (Durian Solo Hunter) melalui topik dan penyampaian yang tersendiri telah memukau para hadirin dengan perkongsian yang penuh informasi dan membuka minda para peserta tentang kepelbagaian spesis dan varieti durian yang ada di negara kita.
 
 
Sesi seminar selama 2 jam 30 minit tersebut telah dimoderasikan oleh Dr. Mohd Firdaus Ismail merentasi topik kepelbagaian spesis durian liar di Malaysia, kepelbagaian klon durian berdaftar dan varieti durian berpotensi serta sejarah panjang durian di negara ini. Sesi soal jawab di penghujung sesi menyaksi perbincangan hangat antara semua hadirin yang hadir berkaitan potensi industri durian di masa hadapan. Seminar yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk membawa semua pihak yang terlibat dalam industri durian termasuk orang awam yang meminati durian untuk bersama Fakulti Pertanian UPM meneliti cabaran dan meneroka potensi yang melingkari perkembangan industri durian. Prof. Dr. Uma Rani Sinniah selaku Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan & Antarabangsa) dalam kata-kata aluan sebelum bermulanya seminar menyatakan keterbukaan Fakulti Pertanian UPM untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi melestarikan lagi industri durian negara.
 
 
Selain dari itu, pameran dan jualan buku berkaitan durian oleh penerbit UPM, pameran dan jualan anak benih durian terpilih oleh pengusaha cantuman durian dan sesi ulasan durian (Durian review) juga telah diadakan pada seminar ini. Program ini juga telah menarik pelbagai pihak yang terlibat dalam industri durian untuk menaja pelaksanaan seminar ini antaranya Humibox Sdn Bhd, U&US Sdn Bhd serta para peyumbang persorangan. “kesediaan pelbagai pihak untuk terlibat samada sebagai rakan kolaborasi dan penaja aktiviti ini membuktikan potensi yang ada pada industri durian itu sendiri selain menonjolkan kepercayaan pelbagai pihak kepada Fakulti Pertanian UPM sebagai institusi unggul pendidikan dan penyelidikan pertanian negara” ujar Dr. Mohd Firdaus Ismail selaku penasihat Seminar Diversiti Durian Malaysia 2025.
 

Date of Input: 03/02/2025 | Updated: 03/02/2025 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:7:37:18~noCache