Seramai 200 penerima anugerah hadir memeriahkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar
SERDANG, 8 Jan 2025 – Seramai 200 pelajar cemerlang hadir memeriahkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Semester 1 dan 2 Sesi 2023/2024 anjuran Sekretariat Akademik dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Pertanian sesi 2024/2025 yang berlangsung semalam di Dewan Pertanian.
Majlis ini bertujuan meraikan kejayaan pelajar yang cemerlang di dalam pencapaian akademik, selain dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Antara pengiktirafan yang diberikan termasuk Sijil Kepujian Dekan kepada pelajar yang memperoleh Nilai Gred Kumulatif (GPA) 3.75 ke atas dan Sijil Anugerah Naib Canselor kepada mereka yang mencapai GPA 4.00.
Dekan Fakulti Pertanian, YBhg. Prof. Loh Teck Chwen, dalam ucapannya menegaskan bahawa pencapaian ini tidak hanya mencerminkan usaha gigih pelajar, tetapi juga komitmen pensyarah, sokongan keluarga, dan usaha berpasukan.
"Kejayaan ini adalah langkah awal untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara di masa hadapan," katanya.
Pengarah program, Saudara Teng Hao Wen, turut berkongsi harapannya agar penghargaan ini menjadi motivasi kepada pelajar untuk terus mengejar kecemerlangan akademik dan kemahiran insaniah, selari dengan visi Fakulti Pertanian.
Hadir sama meraikan kejayaan pelajar ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan semua Ketua Jabatan serta wakil.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah atas pencapaian luar biasa ini. Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan yang lebih besar di masa hadapan!
Date of Input: 13/01/2025 |
Updated: 13/01/2025 | wazien
MEDIA SHARING