Shinobi Star Menjuarai Eksplorasi Warisan Manifestasi PUTRA (ERAT) | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Shinobi Star Menjuarai Eksplorasi Warisan Manifestasi PUTRA (ERAT)

Shinobi Star Menjuarai Eksplorasi Warisan Manifestasi PUTRA (ERAT)



Shinobi Star Menjuarai Eksplorasi Warisan Manifestasi PUTRA (ERAT)

SERDANG, 22 Dis – Kumpulan Shinobi Star berjaya mengungguli pertandingan Eksplorasi Warisan Manifestasi PUTRA (ERAT) anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dengan kerjasama Fakulti Pertanian, UPM dan Prolintas.



Pertandingan yang berlangsung semalam di sekitar Fakulti Pertanian itu disertai oleh lima kumpulan pelajar berbilang kaum bertujuan untuk mendidik peserta tentang kepentingan memelihara warisan budaya tempatan serta memupuk minat generasi muda terhadap seni tradisional yang semakin dilupakan.

Kumpulan Shinobi Star tampil menyerlah dengan gandingan ahli dari pelbagai bidang pengajian, termasuk Sains Pengurusan Perladangan, Teknologi Pertanian Pintar, dan Perniagaantani. Kombinasi ini menjadi resepi kejayaan mereka dalam mengatasi cabaran pertandingan.

Menurut wakil kumpulan tersebut, Tan Leong Yang, dari jurusan Perniagaantani, “Program ini adalah usaha penting untuk menghubungkan inovasi dan warisan demi memastikan kelestarian budaya tempatan. Kami bangga dapat menyumbang ke arah itu sebagai satu pasukan yang unik.”

Kejayaan Shinobi Star membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM200, hamper, produk penjagaan diri tajaan ByNadia Enterprise, serta sijil penghargaan.
Naib juara dimenangi kumpulan Newgate dari Bacelor Sains Pertanian, manakala tempat ketiga dirangkul oleh Horti Rangers mewakili Kelab Hortikultur dan Kumpulan Feral Fury dari Kelab Sains Haiwan serta Hortest (Kelab Hortikultur) masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.



Pengarah program, Saudara Muhammad Haziq Mazlan, menegaskan bahawa nama "ERAT" dipilih untuk menggambarkan jalinan akrab dalam hubungan manusia, kerjasama, dan integrasi idea. “Semangat program ini adalah menghubungkan warisan, inovasi, dan generasi mahasiswa dengan pendekatan lestari,” katanya.

Program ini, diadakan sebagai sebahagian daripada Kursus Kokurikulum Berkredit Persembahan Lisan Tradisional (QKB2109), turut mendapat sokongan padu daripada rakan kolaborasi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. dan ByNadia Enterprise.

 
Turut hadir, YBrs. En. Mohd Shahrizan bin Mohd Zain, Fasilitator Khas Kursus Kokurikulum Berkredit UPM, dan YBrs. En. Hanis bin Johari, Penolong Pendaftar Kanan Fakulti Pertanian.

Diharapkan, program seperti ini terus menjadi pemangkin dalam memartabatkan warisan seni tempatan sambil mendekatkan generasi muda kepada budaya bangsa.

Date of Input: 27/12/2024 | Updated: 27/12/2024 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:6:50:47~noCache