Sinergi Wakaf Pendidikan: Kolaborasi Fakulti Pertanian & WAZAN UPM Perkasa Fasiliti Pembelajaran | FACULTY OF AGRICULTURE
» NEWS » Sinergi Wakaf Pendidikan: Kolaborasi Fakulti Pertanian & WAZAN UPM Perkasa Fasiliti Pembelajaran

Sinergi Wakaf Pendidikan: Kolaborasi Fakulti Pertanian & WAZAN UPM Perkasa Fasiliti Pembelajaran

Sinergi Wakaf Pendidikan: Kolaborasi Fakulti Pertanian & WAZAN UPM Perkasa Fasiliti Pembelajaran
 
 
Serdang, 5 Februari – Pejabat Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan satu perbincangan meja bulat bagi merancang kerjasama strategik dengan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM. Perbincangan ini bertujuan untuk memperkenalkan inisiatif wakaf bagi peningkatan fasiliti pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Pertanian.
 
Perbincangan ini dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin, Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Hanis Johari, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Dekan (Akademik, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), serta Saudara Umar Akhtar Ab Malek, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2024/2025, Fakulti Pertanian. Turut hadir mewakili WAZAN UPM ialah Tuan Haji Haris Dahlan, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM dan Encik Mohd Azrol Hafizi, Penolong Pendaftar, Seksyen Wakaf dan Infak, WAZAN UPM.
 
 
Antara cadangan utama yang dibincangkan ialah mewujudkan bilik kuliah pintar yang dilengkapi dengan kemudahan moden dan teknologi terkini. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi mahasiswa. Penambahbaikan ini merangkumi infrastruktur yang lebih efisien, penyediaan peralatan pengajaran yang canggih, dan sokongan teknologi untuk memperkukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Usaha ini juga selari dengan lima strategi utama UPM dalam memastikan kecemerlangan dan kelestarian universiti menjelang 2025. Strategi tersebut merangkumi pembangunan bakat berimpak tinggi, peningkatan keupayaan institusi dengan risiko rendah, serta pendekatan agresif dalam kelestarian kewangan untuk hasil yang lebih baik.
 
Bagi merealisasikan inisiatif ini, strategi pengumpulan dana melalui sumbangan individu, syarikat, dan organisasi akan digerakkan. Sumbangan wakaf ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan akademik dan penyelidikan yang lebih mantap di Fakulti Pertanian UPM.
 
Perbincangan ini diharapkan dapat membuka jalan ke arah pelaksanaan projek wakaf yang berkesan, seterusnya menyumbang kepada kemajuan pendidikan tinggi yang lebih lestari di UPM.

Date of Input: 19/02/2025 | Updated: 19/02/2025 | wazien

MEDIA SHARING

FACULTY OF AGRICULTURE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 4802
+603-9769 4004
S.2025/3/13:6:40:26~noCache